Titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sempena
Pembukaan Rasmi Bagunan BMR dan Pelancaran Kempen Anti Rasuah pada 12 Mei 1992.
" ......Sebagai negara
yang ternama lagi bermaruah maka Brunei Darussalam patutlah mengekalkan ciri-ciri
kesedaran menentang rasuah itu hingga keakar-akar umbinya. Kita tidaklah boleh lalai dari
malakukan usaha-usaha pencegahan, walaupun dengan apa cara pun, terutamanya melalui proses
undang-undang yang ada ......."

Assalamu' Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
ALHAMDULILLAHI Rabbil' Aalameen, Wassalatu ' Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina
Muhammadin, Wa'alaa Aalihie Wasahbihie Ajma'een, Waba'du.
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izinnya jua, dapatlah kita hadir
pada hari ini di Majlis Pelancaran Kempen Anti Rasuah yang disempenakan sekali dengan
pembukaan rasmi Ibu Pejabat Biro Mencegah Rasuah.
Bangunan yang baru dan indah ini, biarlah turut melambangkan kesungguhan kita pada
menghadapi keadaan yang ada, serta juga seterusnya yang mungkin timbul dari masa ke
semasa.
Rasuah adalah merupakan penyakit masyarakat antarabangsa yang telah lama wujud meracuni
kehidupan manusia. Ia berlaku dengan tidak memilih tempat, waktu dan peringkat orang.
Pendeknya, dimana-mana dan kepada siapa sahaja ia boleh berlaku atau terjadi.
Apabila rasuah sudah berleluasa dan menulari masyarakat, maka masyarakat itu akan
kehilangan imej yang baik dan tidak dihormati lagi.
Maka atas asas inilah, bukan sahaja akal dan jiwa kita yang bersih akan menolaknya,
malahan juga agama kita yang suci telah mengutuk dan menjanjikan seksa yang amat pedih
kepada pelakunya, sama ada yang memberi ataupun yang menerima rasuah itu.
Sebagai negara yang ternama lagi bermaruah, maka Brunei Darussalam patutlah mengekalkan
ciri-ciri kesedaran menentang rasuah itu hingga keakar-akar umbinya. Kita tidaklah boleh
lalai dari melakukan usaha-usaha pencegahan, walau dengan apa cara pun, terutamanya
melalui proses undang-undang yang ada.
Kerajaan adalah sentiasa tegas dan tidak teragak-agak dalam menjalankan tanggungjawab
menurut lunas dan kuasa undang-undang tersebut.
Tetapi sungguhpun begitu, suka pula beta mengingatkan, bahawa bagi sesiapa juga yang
dipikulkan tanggungjawab kearah ini, hendaklah sentiasa bersikap adil dan penuh teliti
sebelum menjalankan sebarang langkah dan tindakan keatas orang-orang yang dimaksudkan,
kerana sebarang langkah itu, apapun bentuknya, adalah melibatkan harga diri dan
keharmonian seseorang.
Peringatan ini, bukanlah makna suatu tolak ansur atau isyarat untuk pihak-pihak berkenaan
memberhentikan operasi membenteras rasuah, bukan itu hakikat yang dimaksudkan. Tetapi,
sebaliknya supaya mereka itu lebih berhati-hati dalam membuat penyiasatan dan penilaian
bagi mengelakkan berlakunya sebarang kesilapan dan penzaliman.
Berpandu kepada perkembangan-perkembangan yang ada, kita memanglah masih memerlukan
jentera pencegahan rasuah terus digiatkan. Kerana walaupun biro yang berkenaan itu telah
ditubuhkan semenjak tahun 1982, namun masih sahaja terdapat kes-kes rasuah, yang
setengahnya itu pula turut melibatkan pegawai-pegawai Kerajaan. Sedangkan rasuah, apapun
sifatnya, adalah bertentangan dengan kesemua kepentingan awam, yang boleh melemahkan
pentadbiran dan negara.
Jadi kita tidaklah ada pilihan lain, melainkan mesti menyusun perancangan-perancangan yang
kemas dengan strategi-strategi yang tepat untuk memerangi rasuah itu dengan lebih berkesan
lagi, sama ada di kalangan para pegawai Kerajaan mahupun orang awam.
Khas mengenai dengan pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan ini, beta percaya
Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan akan dapat memastikan, bahawa tidak ada
terdapat sebarang "loop-holes" dalam jentera pentadbiran di
Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan tersebut yang boleh digunakan oleh
anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.
Sementara di pihak orang ramai pula kerjasama mereka adalah amat dipentingkan bagi
sama-sama membantu Kerajaan dalam perkara-perkara yang layak dan mmunasabah, sehingga
dengan wujudnya kerjasama yang seumpama itu, maka semua pintu jenayah sama ada kerana
menerima ataupun memberi rasuah itu akan dapat dikawal dan ditutup rapat oleh kita.
Beta berharap dan sambil berdoa mudah-mudahan Kempen Anti Rasuah yang disempenakan dengan
pembukaan Ibu Pejabat Biro Mencegah Rasuah ini akan berjalan dengan baik dan lancar dan
akan mendatangkan hasil yang memuaskan, sebagai salah satu daripada rancangan kita untuk
melahirkan masyarakat yang bahagia.
Dengan bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala, serta dengan lafaz Bismillahir Rahmanir
Rahim, selawat dan salam keatas Nabi kita Sayidina Muhammad Sallalahu Alaihi Wassalam,
maka beta lancarkan Kempen Anti Rasuah yang juga disempenakan dengan pembukaan rasmi Ibu
Pejabat Biro Mencegah Rasuah pada hari ini.
Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.